Bacelor Sains Bioteknologi Dengan Kepujian | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» AKADEMIK » Prasiswazah » Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian

Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian

PENGENALAN

Semenjak 1986, program Bacelor Sains Bioteknologi telah ditawarkan di Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi dan kemudiannya telah diletakkan di bawah Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2004. Di bawah FBSB, nama program telah ditukar kepada Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian dan ditawarkan oleh Jabatan Teknologi Bioproses di mana ia dijalankan secara sepenuh masa di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Jangka masa pengajian program ini ialah lapan semester (empat tahun) dengan jumlah minima kredit untuk bergraduat sebanyak 126. Program ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar (SCL) yang merangkumi teori dan amali menerusi pengajaran kuliah, tutorial, seminar, latihan industri, lawatan sambil belajar, kajian kes, kerja lapangan dan projek penyelidikan.


STRUKTUR KURIKULUM

Struktur kurikulum program telah dirangka berdasarkan kepada komponen dan garis panduan yang ditetapkan oleh Standard Program: Bioteknologi. Pelajar perlu menyempurnakan minimum 126 kredit untuk bergraduat.

Kursus yang ditawarkan dalam program ini dibahagikan kepada enam (6) komponen utama iaitu komponensains asas, komponen teras: sains teras dan gunaan, elektif pengkhususan, projek penyelidikan tahun akhir, latihan industri, dan kemahiran generik, kemanusiaan dan sastera liberal.

1. Sains Asas

Kursus komponen sains asas (13 kredit) merupakan kursus asas dalam bidang bioteknologi seperti biologi, kimia, fizik dan matematik, terutamanya statistik

2. Teras: Sains Teras dan Gunaan

Kursus komponen teras: sains teras dan gunaan (57 kredit) yang ditetapkan dalam program  untuk mencapai tahap kemahiran yang cukup dalam bidang pengajian bioteknologi.

3. Elektif Pengkhususan

Kursus elektif pengkhususan (20 kredit) merangkumi pelbagai kursus elektifbidang bioteknologi seperti bioteknologi industri, bioteknologi alam sekitar, bioteknologi haiwan dan tumbuhan, danbioteknologi makanan.

Selain kursus Elektif Bioteknologi, pelajar boleh memilih kursus elektif keusahawanan bioteknologi:

4. Elektif Keusahawanan Bioteknologi - pelajar yang mengambil elektif ini perlu mengambil kursus elektif berjumlah 20 jam kredit yang terdiri daripada elektif bioteknologi (8 kredit) dan elektif keusahawanan bioteknologi (12 kredit).

5. Projek Penyelidikan Tahun Akhir

Kursus yang diklasifikasi di dalam komponen ini adalah termasuk Disertasi Bacelor dan Seminar (7 kredit).

6. Latihan Industri

Standard Program: Bioteknologi menetapkan bahawa latihan industri (6 kredit) merupakan komponen wajib bagi pelajar Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian.

7. Kemahiran Generik, Kemanusiaan dan Sastera Liberal

Kursus yang termasuk di dalam komponen ini adalah merangkumi kursus seperti kemahiran komunikasi, teknologi maklumat, pengurusan, bahasa, kenegaraan Malaysia dan hubungan etnik (23 kredit).


SYARAT KEMASUKAN

Syarat Am Universiti

1. Lepasan Matrikulasi/Asasi

I. Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Setaraf dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia atau kepujian Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai;

II. Lulus Matrikulasi KPM/Asasi Sains UM/Asasi UiTM/Asasi Sains Pertanian UPM dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00;

III. Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET).


2. Lepasan STPM

I. Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/setaraf dengan mendapat Kepujian dalam Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia atau kepujian Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai;

II. Lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan mendapat sekurang-kurangnya:

i. Gred C (NGMP 2.00) mata pelajaran Pengajian Am; dan
ii. Gred C (NGMP 2.00) dalam dua (2) mata pelajaran lain

III. Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET).


3. Lepasan Diploma

I. Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Setaraf dengan mendapat kepujian dalam matapelajaran BahasaMelayu/Bahasa Malaysia atau Kepujian Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai;

II. Memiliki kelulusan Diploma atau kelulusan lain yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat IPTA; atau

III. Lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2008 atau sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan mendapat sekurang-kurangnya;

i. Gred C (NGMP 2.00) dalam mata pelajaran Pengajian Am;
ii. Gred C (NGMP 2.00) dalam dua (2) mata pelajaran lain; atau

IV. Lulus peperiksaan Matrikulasi tahun 2008 atau sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00;

V. Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET).

 
SYARAT KHAS PROGRAM

Aliran Sains

1. Lepasan STPM

I. Mendapat sekurang-kurangnya Gred B- (NGMP 2.67) pada peringkat STPM dalam mata pelajaran berikut:

i. Kimia; dan
ii. Biologi

II. Mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ (NGMP 2.33) pada peringkat STPM dalam mata pelajaran berikut:

i. Matematik T/Matematik Lanjutan T


2. Lepasan Matrikulasi/Asasi

I. Mendapat sekurang-kurangnya Gred B- (67) pada peringkat Matrikulasi/Asasi dalam mata pelajaran berikut:

i. Kimia; dan
ii. Biologi

II. Mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ (33) pada peringkat Matrikulasi/Asasi dalam mata pelajaran berikut:

i. Matematik


3. Lepasan Diploma

I. Memiliki Diploma dalam bidang yang sesuai atau kelayakan lain yang diiktiraf oleh Senat UPM.


HASIL PEMBELAJARAN

Hasil pembelajaran Program Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian dibahagikan kepada dua iaitu berdasarkan hasil pembelajaran yang ditetapkan oleh Standard Program: Bioteknologidan hasil pembelajaran mengikut ketetapanUniversiti berdasarkan kerangka kelayakan Malaysia (MQF). Secara keseluruhannya, hasil pembelajaran program adalahbagi melahirkan graduan yang berupaya untuk;

  1. mempamerkan pengetahuan dan kefahaman komprehensif bioteknologi;
  2. menggunakan peralatan asas yang berkaitan dengan bidang bioteknologi;
  3. menganalisis, mensintesis, dan mengintegrasi pengetahuan dan maklumat;
  4. mengaplikasikan pengetahuan teori dan kemahiran praktikal;
  5. mengendalikan penyelidikan berpandu asas;
  6. menunjukkan kebolehan mencari, mengadaptasi dan memberi penyelesaian bagi menangani cabaran dan permasalahan bioteknologi;
  7. mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat;
  8. menunjukkan kesedaran dan pemahaman terhadap isu asas keusahawanan dan pengkomersilan, etika, perundangan dan sosial yang berkaitan dengan bioteknologi;
  9. mempamerkan kemahiran berkomunikasi dan interpersonal.


MAKLUMAT KERJAYA 

Kerjaya dalam bidang bioteknologi adalah amat penting untuk menyokong peningkatan dan pembangunan pelbagai industri di Malaysia termasuklah pertanian, penternakan, makanan, perubatan, pembuatan dan juga pengurusan sisa. Hal ini selaras dengan Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2005-2020 untuk membangunkan bidang bioteknologi sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi. Dasar ini memfokuskan untuk pembangunan tiga sektor ekonomi iaitu pertanian, penjagaan kesihatan dan pembuatan industri, serta menyokong pembangunan ekosistem komuniti saintifik, akademik dan perniagaan.

Kursus Latihan Industri akan ditawarkan pada semester akhir (semester 8) selepas pelajar telah melengkapkan kursus Disertasi Bacelor. Ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan kerana pelajar akan dapat mempraktiskan pengetahuan kepada proses kerja di alam kerjaya dengan lebih berkesan.


LATIHAN INDUSTRI

Latihan Industri bagi program di bawah ijazah Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian (kod kursus BTC4901) akan ditawarkan pada semester akhir (semester 8) selepas pelajar telah melengkapkan kursus Disertasi Bacelor. Pelajar akan diberi peluang untuk memilih sendiri tempat mengikut minat dan juga kesesuaian latihan yang ditawarkan terhadap program pengajian. Tempat latihan secaraamnya meliputi tetapi tidak terhad kepada; institusi penyelidikan atau makmal ujian diagnostik, pemantauan dan kawalan mutu di bawah agensi kerajaan, makmal komersil swasta, syarikat pengilangan yang mana aktiviti mereka berteraskan biopemprosesan dan biopenghasilan, syarikatyang menceburi bidang perladangan, dan syarikat yang menyediakan khidmat perundingan, pendidikan serta latihan di dalam bidang berkaitan bioteknologi.  Proses pemilihan tempat dan penyeliaan pelajar sepanjang tempoh latihan akan dikendalikan oleh penyelaras jabatan bersama penyelia atau pengurus dari agensi atau syarikat terbabit. Pendedahan kepada latihan industri ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan kerana pelajar akan dapat mempraktiskan pengetahuan kepada proses kerja dan lebih memahami alam kerjaya bidang bioteknologi dengan lebih berkesan.


YURAN PENGAJIAN DAN BANTUAN KEWANGAN

Untuk yuran pengajian boleh merujuk disini


PENGIKTIRAFAN PROGRAM

Struktur Kurikulum ini dirangka berdasarkan kepada komponen dan garis panduan yang ditetapkan oleh Standard Program: Bioteknologi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Universiti Putra Malaysia.

 

Kemaskini:: 07/08/2017 [m_radzi]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
B1566653087