THE SECOND BIOPROCESSING AND BIOMANUFACTURING SYMPOSIUM 2017 | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» BERITA » THE SECOND BIOPROCESSING AND BIOMANUFACTURING SYMPOSIUM 2017

THE SECOND BIOPROCESSING AND BIOMANUFACTURING SYMPOSIUM 2017

Pada 12 Disember 2017 yang lalu, “The Second Bioprocessing and Biomanufacturing Symposium 2017 (BBS 2017)” telah berjaya dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Biopemprosesan & Biopembuatan (BBRC) bersama Jabatan Teknologi  Bioproses, Fakulti Bioteknologi & Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama dari Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM). Bersempena dengan tema “Pursuing Innovation in Bioprocessing”, simposium selama dua hari ini telah berlangsung di Auditorium Murad Mohd Noor, Kompleks Sains@USM, Bukit Jambul, Pulau Pinang. Penganjuran program ini bertujuan untuk meneruskan kesinambungan perbincangan isu-isu yang berkaitan dengan kemajuan dalam bidang biopemprosesan dan biopembuatan dari siri seminar yang ulung kali diadakan pada 2015.

Simposium telah dirasmikan oleh ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato 'Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal yang menghadiri majlis bagi pihak Timbalan Naib Canselor USM (Penyelidikan & Inovasi). Antara yang hadir ialah Dekan Fakulti Bioteknologi & Sains Biomolekul yang juga merangkap Ketua Pusat Penyelidikan BBRC, Profesor Dr. Arbakariya Ariff dan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Profesor Dr. Azhar Mat Easa.

Berucap pada majlis perasmian BBS 2017, Profesor Dato 'Dr. Ahmad Shukri menyentuh pentingnya keperluan untuk memenuhi permintaan pasaran terhadap produk bio berkualiti untuk kegunaan umum serta pada masa yang sama ianya mengekalkan faktor kebolehmilikan, keselamatan kepenggunaan, dan mesra alam sekitar, beliau juga berharap untuk melihat lebih banyak lagi usaha kolaboratif dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi di kalangan penyelidik muda dari USM dan UPM yang dapat bekerja rapat dengan industri untuk menghasilkan penemuan terbaru yang boleh membawa kepada produk yang meningkatkan lagi kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Sementara itu, Ketua BBRC, Profesor Dr. Arbakariya Ariff menyatakan BBS 2017 kali ini bertujuan untuk meneruskan dan memperluas skop lagi dialog siri simposium pertama dalam mencari penyelesaian ke arah mencapai teknologi biopemprosesan dan biopembuatan yang mampan.

Simposium biopemprosesan dan biopembuatan edisi kedua ini telah menarik minat  lebih daripada 70 peserta tempatan dan antarabangsa (Argentina dan Thailand) yang terdiri dari para penyelidik universiti, pelajar pascasiswazah, sehingga kepada pihak berkenaan dari industri tempatan dan multinasional, ini termasuk dua penceramah ucaptama dan enam penceramah pleno. Antara topik menarik yang telah dibincangkan semasa BBS 2017 untuk tahun ini meliputi isu semasa dan cabaran pemprosesan bahanapi bio, pembangunan bahan bio untuk kegunaan bioperubatan, biopembuatan sel-sel biologi dan metabolit, kemajuan dalam bahan nano, biopemprosesan enzim dan mikrob, dan teknologi pemprosesan hiliran.

Disediakan oleh,

Dr. Mohd Shamzi Mohamed

Pengerusi

Jawatankuasa Penganjuran BBS 2017

Tarikh Input: 10/01/2018 | Kemaskini: 11/01/2018 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
SXDdOAo~