Prof. Ts. Dr. Hidayah Ariffin Terima Pengiktirafan TRSM2022 | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» BERITA » Prof. Ts. Dr. Hidayah Ariffin Terima Pengiktirafan TRSM2022

Prof. Ts. Dr. Hidayah Ariffin Terima Pengiktirafan TRSM2022

3 Pensyarah UPM terima Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia 2022
 
Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
 
Kuala Lumpur, 29 Sep - Tiga pensyarah Universiti Putra Malaysia(UPM) berjaya mengharumkan nama universiti apabila menerima penganugerahan dan pengiktirafan sebagai Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2022 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).
 
Pengiktirafan ini diberikan kepada saintis penyelidik Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 tahun sumbangan terkumpul dalam sektor sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dengan tujuan mengenalpasti dan mengiktiraf saintis penyelidik tempatan yang cemerlang.
TRSM 2022 daripada UPM terdiri daripada Profesor Ts Dr Hidayah Arifin Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Profesor Dr Alyani Ismail, Fakulti Kejuruteraan (FK) dan Profesor Dr Lim Hong Ngee, Fakulti Sains (FS).
 
Profesor Ts. Dr. Hidayah Arifin, FBSB UPM berkata pengiktirafan TRSM 2022 kepadanya bagi mengiktiraf kepakaran beliau dalam bidang Kejuruteraan Bioproses yang menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan penyelidikan Sains Biologi, Pertanian dan Alam Sekitar.
"Saya merasa bersyukur dan gembira di atas pengiktirafan ini. Semoga pengiktirafan ini akan menjadi dorongan dan inspirasi kepada penyelidik dan pelajar untuk terus berusaha dan bergiat dalam bidang penyelidikan STIE.
"Saya berharap agar dapat menyumbang lebih banyak di dalam bidang penyelidikan dan berkongsi ilmu dengan warga UPM khasnya serta rakyat Malaysia mahupun antarabangsa dalam bidang kepakaran saya," katanya.
 
Tambahnya lagi, beliau berharap penganugerahan itu akan menjadi batu loncatan kepadanya untuk menyumbang lebih banyak kepada halatuju pembangunan penyelidikan di Malaysia.
Majlis penyampaian Penganugerahan Felo ASM dan Pengiktirafan TRSM 2022 itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, baru-baru ini.
Sementara itu, seramai enam orang pensyarah UPM menjadi Felo ASM 2022 yang terdiri daripada saintis, jurutera, ahli teknologi dan cendekiawan atas sumbangan masing-masing dalam sektor STIE yang signifikan serta diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
 
Felo ASM daripada UPM ialah Profesor Datin Dr. Siti Nor Akmar Abdullah (Fakulti Pertanian) Profesor Dr. M Iqbal Saripan (Fakulti Kejuruteraan), Profesor Ir Dr Aduwati Sali (Fakulti Kejuruteraan), Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad (ITAFOS), Profesor Datuk Dr Jayum anak Jawan (Fakulti Ekologi Manusia) dan Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin (Fakulti Pertanian).
Salah seorang penerima Felo Kanan ASM adalah Mantan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris FASc . - UPM

Tarikh Input: 13/10/2022 | Kemaskini: 13/10/2022 | m_radzi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
SXESOA3~