Kuala Lumpur, 9 Oktober 2025 – Kejayaan membanggakan buat warga Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) apabila hasil penyelidikan Prof. Madya Dr. Siti Sarah binti Othman berjaya dikomersialkan melalui syarikat pemula Edstem Sdn. Bhd., di bawah program InnoHub Universiti Putra Malaysia (UPM).
Produk inovatif yang dibangunkan "See your DNA"— kit pendidikan STEM untuk pengasingan DNA — diperkenalkan sempena Majlis Penutupan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2025 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL). Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu juga turut menyaksikan majlis pertukaran MOU daripada kedua-dua belah pihak.
Kit inovatif ini direka bagi memudahkan pelajar dan masyarakat memahami konsep DNA serta proses pengekstrakan dengan cara yang mudah, selamat dan kos efektif. Usaha ini bukan sahaja menyemarakkan minat terhadap sains dan bioteknologi, malah menyokong aspirasi negara dalam memperkukuh pendidikan STEM dan budaya inovasi di kalangan generasi muda.
💫 Tahniah kepada Prof. Madya Dr. Siti Sarah binti Othman atas kejayaan ini yang menyerlahkan kepakaran dan kreativiti penyelidik FBSB dalam mentranslasi ilmu ke dalam bentuk inovasi berimpak tinggi.
Tarikh Input: 13/10/2025 | Kemaskini: 14/10/2025 | nazriah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia