Vaksinasi COVID-19 Untuk Kanak-kanak | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» ARTIKEL » Vaksinasi COVID-19 untuk Kanak-kanak

Vaksinasi COVID-19 untuk Kanak-kanak

Vaksinasi telah diterima secara meluas sebagai kunci untuk mengawal pandemik COVID-19 dengan mencegah penyakit menjadi lebih teruk. Disebabkan oleh taburan penyakit secara global dan terjejasnya populasi berbeza, pelbagai platform vaksin diperlukan untuk mengatasi kekangan dari segi pembuatan, logistik dan keberkesanan. Walaupun sehingga kini sebanyak 11.84 bilion dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada orang dewasa yang sihat dan individu berisiko tinggi, vaksinasi untuk kanak-kanak baharu sahaja dipertimbangkan.

Dalam The Lancet Infectious Diseases, Krishna Mohan Vadrevu dan rakan-rakan melaporkan data awal tentang keselamatan dan imuniti bagi kanak-kanak di India yang menerima vaksin SARS-CoV-2 berasaskan virus lengkap yang dinyahaktifkan dengan adjuvan (BBV152, Bharat Biotech International, Hyderabad, India). Dalam kajian tersebut, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan umur (≥2 hingga 6 tahun, >6 hingga 12 tahun, dan >12 hingga ≤18 tahun), dan dipantau untuk kesan sampingan yang dijangka dan tidak dijangka selepas vaksinasi. Vaksin ini telah diluluskan untuk kegunaan orang dewasa oleh WHO, tetapi belum oleh pihak berkuasa kawal selia di AS, UK atau EU.

Untuk pemberian lesen, pihak berkuasa kawal selia perlu menilai risiko dan manfaat vaksinasi. Dalam populasi pediatrik, kedua-dua aspek ini belum difahami sepenuhnya. Risiko yang perlu dipertimbangkan termasuk kanak-kanak dengan risiko tambahan mendapat penyakit teruk, sindrom long COVID, serta potensi kanak-kanak menyebarkan jangkitan kepada kumpulan rentan lain seperti warga emas, guru dan penjaga (yang berpotensi membawa kepada kejadian penyebar super).

Ujian klinikal terkawal amat diperlukan untuk memberikan maklumat mengenai manfaat dan risiko vaksinasi. Manfaat yang mungkin termasuklah mengurangkan penyakit yang teruk, penyakit yang ringan, atau kadar penularan penyakit. Data keberkesanan BBV152 dalam kalangan kanak-kanak masih belum dilaporkan, namun tindak balas antibodi peneutral adalah sebanding jika diukur dalam populasi dewasa.

Data awal menunjukkan tiada kejadian buruk yang serius, kematian atau penarikan akibat kesan sampingan, serta tiada kes miokarditis; namun, pemantauan berterusan dengan bilangan penerima vaksin yang lebih besar adalah penting untuk mengenal pasti kejadian jarang berlaku. Reaktogenisiti segera (contohnya sakit di tempat suntikan) adalah rendah, walaupun keterbatasan kajian ini adalah termasuk ketiadaan kumpulan plasebo dan jumlah peserta yang kecil.

Kebanyakan negara membenarkan vaksinasi untuk kanak-kanak dan remaja berumur 16-18 tahun, dan beberapa negara turut meluluskan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lebih muda daripada 16 tahun.

Dua lagi vaksin COVID-19 telah diluluskan untuk kanak-kanak oleh pihak berkuasa kawal selia EU dan WHO, dan kedua-duanya berasaskan mRNA: BNT162b2 (Pfizer–BioNTech) dan mRNA-1273 (Moderna). BNT162b2 turut diluluskan oleh pihak berkuasa di AS dan UK untuk kegunaan kanak-kanak.

Bagi vaksin mRNA-1273, ia boleh diberikan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas pada dos yang sama seperti orang dewasa. Agensi Ubat-ubatan Eropah juga membenarkan separuh dos diberikan kepada kanak-kanak berumur 6-12 tahun. BNT162b2 pula memerlukan dos yang lebih rendah bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun. Orang dewasa dan remaja berumur lebih 12 tahun menerima 30 μg setiap dos, manakala kanak-kanak berumur 5-11 tahun menerima 10 μg setiap dos. Dalam kajian ini, vaksin BBV152 menggunakan dua dos 6 μg virus lengkap yang dinyahaktifkan dengan molekul agonis reseptor toll-like 7/8 yang diserap pada alum, diberikan dalam dos, isipadu dan aturan yang sama seperti ujian klinikal fasa 3 untuk orang dewasa. Strategi ini menawarkan cara pelaksanaan lapangan yang lebih mudah kerana produk ubat yang sama boleh diformulasikan dan disimpan untuk kegunaan orang dewasa dan kanak-kanak. Pendekatan ini juga mengurangkan potensi kesilapan dos; namun, keselamatan dan keberkesanan vaksin tidak boleh dikompromi demi kemudahan pembuatan atau logistik.

Penilaian menyeluruh bagi ujian klinikal pediatrik terus menjadi cabaran, terutamanya kerana pertimbangan etika. Sikap masyarakat dan tingkah laku terhadap penerimaan vaksin juga memainkan peranan penting. Beberapa kajian demografi menunjukkan bahawa semasa pandemik COVID-19, ibu bapa ragu-ragu untuk membenarkan anak mereka divaksinasi, mungkin berkait dengan persepsi risiko yang meningkat.

Pengetahuan mengenai keberkesanan dan kesan sampingan adalah penting bukan sahaja untuk pembuat dasar negara, tetapi juga untuk penjaga yang mempertimbangkan persetujuan bagi anak mereka. Ujian-ujian ini penting untuk memaklumkan analisis kos-faedah bagi dasar dan keputusan. Risiko dan manfaat kedua-dua penyakit serta vaksinasi perlu dilaporkan dan dibincangkan secara menyeluruh di kalangan pembuat dasar kerana vaksinasi COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berpotensi membantu pemulihan daripada pandemik. Namun begitu, keutamaan utama adalah untuk meningkatkan akses global kepada vaksin untuk golongan dewasa yang rentan, terutamanya di negara dengan sistem kesihatan yang lemah.

 

Artikel oleh:

Abdul Razak Mariatulqabtiah & Karen R. Buttigieg

Diterbitkan di The Lancet (klik untuk artikel)

Tarikh Input: 14/07/2022 | Kemaskini: 18/09/2025 | mariatulqabtiah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
X, (12:44:55pm-12:49:55pm, 30 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]