TEKNIK PEMBERSIHAN RUMAH YANG BETUL BAGI MEREKA YANG ADA EKSEMA DAN ALERGI | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» ARTIKEL » TEKNIK PEMBERSIHAN RUMAH YANG BETUL BAGI MEREKA YANG ADA EKSEMA DAN ALERGI

TEKNIK PEMBERSIHAN RUMAH YANG BETUL BAGI MEREKA YANG ADA EKSEMA DAN ALERGI

TEKNIK PEMBERSIHAN RUMAH YANG BETUL BAGI MEREKA YANG ADA EKSEMA DAN ALERGI

Rumah dan persekitaran yang bersih adalah amat penting bagi mereka yang ada eksema dan alergi. Persekitaran yang bersih dan tanpa alergan memberikan kulit peluang untuk pulih. Di antara perengsa yang mungkin ada di rumah adalah habuk, hama, hama haiwan, dander haiwan, asap rokok, debunga dan lain lain. Walaupun anda mungkin berpendapat rumah anda sudah cukup bersih, tapi produk pembersih yang digunakan serta banyak faktor lain juga boleh menyebabkan alahan.

Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan ketika membersihkan rumah untuk mereka yang ada eksema dan alergi:

1. Produk Pembersih

Produk pembersih tertentu juga boleh menjadi alergan. Pilihlah produk pembersih yang tidak menggunakan bahan kimia yang kuat, bau yang kuat atau sebatian organik yang meruap (VOC). Berhati-hati juga dengan label "natural/semulajadi" “hijau/tumbuhan”, kerana sebatian semulajadi seperti ekstrak limau, kelapa, atau minyak essential seperti tea tree oil juga boleh menjadi alergan pada setengah orang. Elaklah juga daripada menggunakan bahan pembersih yang mempunyai sebatian anti bakteria selalu.

2. Hama (Dust mites)

Hama atau dustmites boleh menyebabkan kegatalan, batuk, ruam dan masalah seperti sukar bernafas bagi mereka yang ada alahan terhadapnya. Hama atau dust mites (pepijat) mikroskopik ini perlu dibendung. Anda boleh menggunakan penutup dust mites yang diiktiraf untuk melindungi tilam dan bantal anda. Basuhlah cadar tempat tidur sekurang-kurangnya seminggu sekali dengan air panas untuk membunuh hama dan telurnya.

3. Hama dan Dander Haiwan Kesayangan

Hama kucing/anjing/hamster serta urin, air liur, peluh dan dander (kepingan sel mati) haiwan kesayangan juga boleh menyebabkan alahan pada mereka yang ada eksema dan asma juga. Elaklah haiwan tersebut tidur atau masuk dalam bilik tidur atau di dalam rumah. Anda mungkin perlu menyediakan ruang berasingan bagi haiwan tersebut di luar rumah serta memastikan kawasan persekitaran adalah dibersihkan dengan cara tertentu selalu.

4. Karpet, Langsir, Sofa, Lap Kaki dll

Cara terbaik adalah untuk mengeluarkan karpet atau lap kaki yang boleh mengumpul habuk dan hama daripada rumah dan diganti dengan vinil atau lap kaki (rug) yang boleh dibasuh. Gunalah kain lembap untuk membersih atau mengelap habuk atau debu kering dirumah. Menyapu sahaja habuk atau debu yang kering mungkin hanya menyebabkan habuk atau debu tersebut terapung di udara dan persekitaran. Gunakanlah vakum yang diiktiraf AAFA yang mempunyai penapis kecekapan yang tinggi (HEPA filter) untuk menapis asap, hama haiwan, debu dan hama habuk. Juga, pilihlah vakum yang yang memerlukan pendedahan minimum terhadap zarah zarah yang disedut semasa mengosongkan kanister atau beg vakum. Pastikan rumah divakum setiap minggu dan sebulan sekali semua kawasan lain rumah seperti celah tingkap, belakang almari, dan tempat yg jarang dibersihkan divakum juga. Pakailah sarung tangan serta penutup muka semasa membersihkan rumah.

5. Lipas dan Tikus

Hama dan dander daripada tikus dan lipas juga adalah pencetus asma dan alergi. Penggunaan racun perosak untuk membunuh tikus dan lipas mungkin lebih berbahaya untuk mereka yang menghidap asma dan alergi. Sekiranya anda mempunyai masalah perosak, carilah pengawal perosak (pest control) yang berpengalaman dan berbincanglah tentang pendedahan kepada bahan kimia yang digunakan.

6. Kulat

Kulat juga boleh mencetuskan alergi. Kulat boleh tumbuh di mana sahaja bahagian rumah yang lembap. Carilah produk pembersih yang boleh membunuh dan mencegah kulat.

7. Mainan anak

Bagi kanak –kanak bereksema dan ada asma dan alahan, elaklah daripada membeli mainan yang berbulu dan lembut dimana habuk, hama serta kulat boleh berkumpul. Jika ada mainan tersebut, letakkan mainan tersebut dalam peti sejuk selama 24 jam, kemudian dibilas dengan air sejuk untuk menghilangkan dust mites serta telurnya, dan dikering sepenuhnya. Lakukan ini setiap bulan. Mainan tersebut juga boleh dibasuh dengan air panas dan dikeringkan atau dijemur di bawah cahaya matahari sekurang kurangnya 2 jam dengan kerap.

Saya berharap kesemua maklumat dalam post ini membantu. Selamat membersih!

Disediakan oleh:

Prof. Dr. Lai Oi Ming

Jabatan Teknologi Bioproses

Tarikh Input: 23/07/2019 | Kemaskini: 26/07/2019 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
B1566652777