Ancaman Pemanasan Global Dan Penghasilan Tanaman Tahan Rintang Abiotik | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» ARTIKEL » Ancaman Pemanasan Global Dan Penghasilan Tanaman Tahan Rintang Abiotik

Ancaman Pemanasan Global Dan Penghasilan Tanaman Tahan Rintang Abiotik

Image result for pemanasan global

Pemanasan global adalah situasi di mana suhu bumi meningkat dan melebihi paras normal. Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) melaporkan bahawa suhu dunia akan meningkat dari 1.1 sehingga 6.4 °C pada tahun 2100, manakala suhu di Malaysia akan meningkat dari 0.6 sehingga 4.5 °C pada tahun 2060. Peningkatan suhu ini disebabkan oleh kesan rumah hijau di mana ia melibatkan peningkatan kepekatan gas rumah hijau seperti karbon dioksida, metana, klurofluorokarbon dan pelbagai jenis gas pencemar di atmosfera. Aktiviti pengindustrian, pengangkutan, pertanian dan pembakaran terbuka adalah penyebab utama peningkatan gas rumah hijau ini. Pengumpulan dan pemerangkapan gas rumah hijau di atmosfera akan memerangkap haba yang terhasil di bumi daripada terbebas keluar ke angkasa.  

Pemanasan global akan menyebabkan peningkatan aras laut dan perubahan cuaca yang ekstrim. Peningkatan aras laut akan menyebabkan pengecilan kawasan daratan dan banjir besar. Perubahan cuaca dunia pula akan menyebabkan fenomena kemarau yang berpanjangan dan frekuensi hujan yang tidak menentu. Justeru, fenomena ini akan memberi impak negatif kepada tanaman perladangan. Antaranya adalah kerosakan tanaman dan penurunan hasil tanaman.

Tanaman perladangan seperti padi, gandum dan jagung menghasilkan sumber utama makanan dunia. Pengeluaran hasil tanaman yang tinggi memerlukan keadaan cuaca dan sumber air yang optimum. Walaubagaimanapun, fenomena pemanasan global ini telah memberi impak negatif, di mana kemarau yang berpanjangan telah menurunkan hasil tanaman padi, gandum dan jagung. Masalah ini akan mengganggu kestabilan dan keselamatan makanan, seterusnya akan menyebabkan masalah kelaparan dan kekurangan nutrisi. Oleh itu, pelbagai usaha telah dibangunkan untuk menghasilkan tanaman yang tahan rintangan terhadap tekanan abiotik seperti tahan rintang terhadap kekeringan, banjir dan peningkatan suhu yang tinggi.

Penghasilan tanaman yang mempunyai ciri tahan rintangan ini dapat dihasilkan dengan kaedah pembiakbakaan hibrid secara konvensional dan kejuruteraan genetik. Pembiakbakaan hibrid secara konvensional memerlukan baka atau induk yang mempunyai ciri rintang tertentu, seterusnya proses penyilangan antara induk ini dapat menghasilkan progeni yang mempunyai ciri nilai tambah yang didapati daripada kedua-dua induk tersebut. Walaubagaimanapun, proses pembiakbakaan ini mengambil masa yang lama, 7 tahun atau lebih untuk menghasilkan sesuatu baka yang bagus.

Kejuruteraan genetik pula dapat menghasilkan baka elit tanaman dengan cepat. Teknik ini melibatkan proses pemindahan gen yang mengawal ciri rintangan tertentu dari organisma ke sesuatu organisma yang lain. Sebagai contoh, gen dari tumbuhan kepada tumbuhan yang lain atau gen dari organisma lain kepada tumbuhan. Selain daripada itu, kaedah suntingan genom juga telah digunakan. Kaedah ini adalah yang terkini di mana ia dapat memasukkan, memadam serta menggantikan DNA yang mengawal sesuatu ciri rintangan.

Walaubagaimanapun, selain daripada kaedah di atas, terdapat pelbagai kaedah bioteknologi lain yang boleh digunakan untuk penghasilan pokok rintangan abiotik. Apa yang penting di sini adalah walaupun sains boleh menyelesaikan sesuatu masalah, kita sebagai khalifah di atas bumi ini hendaklah menjaga kelestarian alam untuk diberikan kepada generasi seterusnya.

Pertanian · Inovasi · Kehidupan

Disediakan oleh:

 
  Dr. Azzreena Mohamad Azzeme
Ph.D., Universiti Putra Malaysia, Malaysia
Kepakaran: Biokimia Tumbuhan dan Bioteknologi
+603-8946 8265
 azzreena@upm.edu.my



Tarikh Input: 05/10/2017 | Kemaskini: 10/10/2017 | hirfarizan

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
SXEYDA7~