Dr. Normi Mohd Yahaya Menang Women In Science National Fellowship Award 2015 | FACULTY OF BIOTECHNOLOGY AND BIOMOLECULAR SCIENCES
» NEWS » Dr. Normi Mohd Yahaya menang Women in Science National Fellowship Award 2015

Dr. Normi Mohd Yahaya menang Women in Science National Fellowship Award 2015


Oleh Syifarida Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pensyarah Kanan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Normi Mohd Yahaya memenangi L’Oreal-UNESCO For Women in Science National Fellowship Award 2015 sempena sambutan L’Oreal Malaysia yang ke – 10.

Program yang bertemakan change the numbers itubertujuan menggalakkan peranan wanita dalam bidang sains yang mengiktiraf kecemerlangan sebagai inspirasi kepada generasi akan datang.

Beliau yang menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid merupakan antara tiga penerima anugerah itu. Masing-masing masing-masing menerima hadiah geran penyelidikan berjumlah RM30,000 dan sijil penghargaan.

Dr. Normi dinobatkan sebagai pemenang atas usaha beliau menjalankan penyelidikan mengenai mengatasi kerintangan antimikrob dengan menghasilkan peptida baharu sebagai agen untuk melawan patogen di kalangan bakteria yang kini semakin meningkat di seluruh dunia.

Katanya, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kerintangan antibiotik bakteria mempunyai beberapa mekanismenya yang tersendiri untuk membolehkan ia rintang terhadap antibiotik. Salah satu cara adalah melalui penghasilan beta-laktamase, sejenis enzim yang boleh mengurai antibiotik.

Beliau berkata antara beta-laktamase yang paling merbahaya adalah daripada jenis metalo-beta-laktamase yang boleh mengurai pelbagai jenis antibiotik. Penyebaran pelbagai jenis bakteria yang mempunyai enzim ini, terutama semasa bencana alam di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, ternyata mengundang bahaya kepada kesihatan masyarakat kerana keupayaannya untuk mengurai pelbagai jenis antibiotik.

“Dalam erti kata lain, antibiotik mungkin tidak boleh digunakan lagi untuk merawat mereka yang dijangkiti.

Asia, sebagai pusat kepada 4.4 bilion populasi manusia, iaitu separuh daripada populasi dunia, boleh berhadapan dengan situasi ini memandangkan ia mempunyai beberapa bandar mega dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

“Situasi sebegini memerlukan kita untuk mencari alternatif untuk menangani masalah kerintangan antibiotik di kalangan bakteria,” katanya.

“Oleh itu, katanya beliau telah mengusulkan untuk mereka bentuk dan menghasilkan peptida sebagai ejen baharu untuk merencatkan enzim metalo-beta-laktamase agar ia tidak boleh mengurai antibiotik, justeru menangani masalah kerintangan antibiotik di kalangan bakteria.

“Kemenangan ini bukan milik peribadi tetapi untuk perjuangan saintis wanita yang ternyata boleh mencorakkan kelainan, perubahan dan impak pada peringkat nasional dan global,” katanya.

Anugerah L’Oreal-UNESCO for Women in Science merupakan satu-satunya anugerah berprestij khas untuk mengiktiraf kecemerlangan saintis wanita.

Ia merupakan platform yang penting dan berguna untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat umum tentang kepentingan sains dan kepentingan wanita di dalam sains serta sumbangan dan impak penyelidikan yang dijalankan oleh saintis wanita kepada dunia sejagat.

“Untuk berjaya, saintis wanita perlu percaya akan kebolehan diri serta idea sendiri, walaupun idea itu mungkin lain daripada yang lain. Daripada kelainan inilah lahirnya perubahan, kreativiti dan mudah-mudahan impak. Jangan sesekali takut atau teragak-agak untuk mencipta kelainan,” katanya.

Selain beliau, penerima lain anugerah itu ialah Dr. Oon Chern Ein dari Universiti Sains Malaysia dan Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ketua panel juri, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata penilaian dibuat atas kriteria proposal yang dicadangkan seperti nilai keaslian tujuan penyelidikan, sumbangan penyelidikan kepada sains, metodologi, pencapaian akademik dan kualiti projek keseluruhan.

“Tahun ini menyaksikan penyertaan yang paling ramai oleh ahli sains wanita dalam pelbagai bidang sains iaitu 149 penyertaan. Kami membuat penelitian setiap proposal dan mengambil masa lebih empat minggu,” katanya.



Updated:: [azima_annuar]

MEDIA SHARING

FACULTY OF BIOTECHNOLOGY AND BIOMOLECULAR SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471047
0389467590
C1508842975