UPM Akan Bina Kilang Sawit Perintis Tanpa Pembuangan Sisa Di Sabah | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» BERITA » UPM Akan Bina Kilang Sawit Perintis Tanpa Pembuangan Sisa Di Sabah

UPM Akan Bina Kilang Sawit Perintis Tanpa Pembuangan Sisa Di Sabah


Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM), secara kerjasama dengan Kyushu Institute of Technology (Kyutech) dari Jepun, sedang membina kilang perintis di Keningau, Sabah, untuk menggalakkan penggiat industri minyak sawit mengguna pakai pendekatan teknologi hijau.

Ketua Kumpulan Penyelidik Bioteknologi Alam Sekitar UPM, Prof Dr Mohd Ali Hassan berkata kilang itu yang dijangka beroperasi pada April tahun depan bakal menyaksikan tiada sebarang pembuangan sisa daripada kilang minyak sawit, yang dapat mengurangkan dengan drastik pencemaran udara dan air.

"Kami berharap apabila kami membina kilang perintis tersebut, penggiat industri boleh datang dan melihat bahawa teknologi itu berdaya maju," katanya kepada Bernama di luar Kongres Bioteknologi Asia 2015, di sini, Selasa.

Mohd Ali, yang juga Ketua Unit Perhubungan Komuniti Industri di Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekular UPM berkata kilang perintis itu merupakan projek di bawah Perkongsian Penyelidikan Sains dan Teknologi bagi Program Pembangunan Lestari (Satrep).

Beliau berkata di bawah program tersebut, UPM menerima pembiayaan RM15 juta termasuk RM12 juta daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) dan RM3 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Mohd Ali berkata kilang perintis itu menghasilkan produk nano-bahan berasaskan bio daripada biojisim minyak sawit yang boleh diadunkan dengan plastik tanpa menjejaskan produk akhir di samping menggunakan air dikitar semula yang mengurangkan pencemaran sumber air daripada buangan kilang minyak sawit (POME).

Dianggarkan pada 2012, industri minyak sawit Malaysia menghasilkan kira-kira 83 juta tan metrik biojisim pepejal dan 60-70 juta tan metrik POME.

Kebanyakan sisa pepejal sama ada dibakar atau digunakan bagi sungkupan di ladang, manakala POME dirawat menerusi sistem rawatan anaerobik dan aerobik sebelum dibuang ke sungai, amalan yang dianggap boleh menjejaskan pemuliharaan biodiversiti.



-- BERNAMA


Tarikh Input: | Kemaskini: | azima_annuar

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
SXEXPAT~