Projek Komuniti Pelajar BSM4501 Di Sungai Kabul, Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» BERITA » Projek Komuniti Pelajar BSM4501 di Sungai Kabul, Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor

Projek Komuniti Pelajar BSM4501 di Sungai Kabul, Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor

Pada 27 November 2018 yang lalu, seramai 37 orang pelajar prasiswazah Kursus Kultur Sel dan Tisu Tumbuhan Gunaan (BSM4501), Jabatan Biologi Sel dan Molekul telah menyertai Projek Komuniti di Sungai Kabul, Kampung Sesapan Kelubi, Beranang Selangor. Aktiviti tersebut turut disertai oleh Dr. Nadiya Akmal Baharum dan Dr. Lai Kok Song selaku pensyarah pengiring serta Prof. Madya Dr. Janna Ong Abdullah, Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad dan Dr. Nur Adeela Yasid selaku penyelidik pengiring.

Tujuan aktiviti ini dijalankan ialah untuk membaikpulih persekitaran Kampung Sesapan Kelubi melalui aktiviti gotong-royong kawasan kampung dan sungai. Pihak Jabatan dengan kerjasama para penyelidik Geran National River Care Fund diketuai oleh Prof. Madya Dr. Janna Ong Abdullah turut merangka aktiviti jangka panjang untuk menanam tumbuh-tumbuhan yang mempunyai fungsi bioremidiasi di sekitar sungai. Melalui program ini, siswa-siswi dapat mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam kelas, khususnya dari segi pemuliharaan alam sekitar dan konsep bioremidiasi menggunakan tumbuh-tumbuhan. Selain meningkatkan kefahaman dan menerapkan pembelajaran melalui pengalaman, program komuniti kampung ini juga dapat memupuk semangat kerjasama di kalangan siswa-siswi.

Di kesempatan ini, pihak Jabatan Biologi Sel dan Molekul, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia turut ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada warga Kampung Sesapan Kelubi, terutamanya Tuan Mohamad Samsudin bin Satar (Penghulu Mukim Beranang), Tuan Mohamad Safian bin Haji Alias (Ketua Kampung Sesapan Kelubi), Puan Rogiah binti Nordin (Ketua Kampung Bukit Kepong), Encik Ramlan Chan dan Encik Khairul Azizi atas kerjasama dan keramahan menyambut kehadiran para pelajar dan pensyarah Jabatan Biologi Sel dan Molekul serta para penyelidik Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul. Kejayaan penganjuran aktiviti kali ini diharapkan dapat menjadi pemangkin usahasama berterusan di antara Jabatan Biologi dan Molekul dengan komuniti Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor.

 

Disediakan oleh:

Dr. Nadiya Akmal Baharum

Penyelaras,

Kursus Kultur Sel dan Tisu Tumbuhan Gunaan (BSM4501)

Jabatan Biologi Sel dan Molekul

Tarikh Input: 22/01/2019 | Kemaskini: 22/01/2019 | m_radzi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
SXETSAj~