ACLAB12 Terus Jadi Platform Utama Penyelidikan & Teknologi Berasaskan Bakteria Asid Laktik | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» BERITA » ACLAB12 Terus Jadi Platform Utama Penyelidikan & Teknologi Berasaskan Bakteria Asid Laktik

ACLAB12 Terus Jadi Platform Utama Penyelidikan & Teknologi Berasaskan Bakteria Asid Laktik

KUCHING: Persidangan Asia Untuk Bakteria Asid Laktik Ke-12 (ACLAB12) akan terus menjadi platfrom utama mempamerkan perkembangan pantas bagi penyelidikan dan teknologi berasaskan Bakteria Asid Laktik (LAB).

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, ACLAB12 adalah bertujuan untuk menyebarkan perkembangan terkini LAB yang seiring dengan temanya iaitu ‘LAB berasaskan bukti: kemajuan, peluang dan cabaran’.

Jelasnya, ia sejajar dengan Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2.0 (NBP 2.0) yang dilancarkan baru-baru ini untuk memastikan bidang bioteknologi berkembang pesat selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

“Tema ACLAB12 kali ini adalah sejajar dengan Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2.0 (NBP 2.0) yang dilancarkan baru-baru ini untuk memastikan bidang bioteknologi akan berkembang pesat dan maju selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi atau k-ekonomi menjelang tahun 2030.

“Dasar itu akan mengukuhkan ekosistem bioteknologi sedia ada untuk menjadi pemangkin dalam menyelesaikan isu negara berkaitan keselamatan makanan, pengurusan wabak dan krisis perubahan iklim melalui penyelesaian bioteknologi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Asia Untuk Bakteria Asid Laktik Ke-12 (ACLAB12) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.

Datuk Roland menambah, pihak kerajaan akan mempertingkatkan usaha dalam menggunakan sumber asli tempatan yang mampan selaras dengan fokus bioteknologi pertanian dan keselamatan makanan.

Justeru itu, kerjasama dan sokongan sektor swasta amat diperlukan untuk memaksimumkan potensi produk berasaskan LAB.

“Saya menggalakkan pemain industri bersama membangunkan inisiatif berimpak tinggi untuk menghasilkan produk makanan baharu dan industri makanan tambahan yang diproses.

“Ini adalah sektor pembuatan makanan hasil tinggi dan kita memerlukan kerjasama dan sokongan sektor swasta untuk memaksimumkan potensi produk probiotik dan ‘superfood’ yang dibangunkan daripada penyelidikan dan teknologi berasaskan LAB,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi ACLAB12 dan Presiden Persatuan Bakteria Asid Laktik Malaysia (MSLAB), Prof. Dr Foo Hooi Ling, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Asia untuk Bakteria Asid Laktik (AFSLAB) dan Penasihat ACLAB12, Prof. Dr Yoon Sung-Sik, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Dr Mohd Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr Ahmad Hata Rasit. -EDISI UKAS

 

Tarikh Input: 19/10/2022 | Kemaskini: 19/10/2022 | m_radzi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
SXEaBAV~