Ikan Hiasan Mampu Kesan Tahap Toksik Dalam Barangan Keperluan Seharian Manusia | FACULTY OF BIOTECHNOLOGY AND BIOMOLECULAR SCIENCES
» NEWS » Ikan Hiasan Mampu Kesan Tahap Toksik Dalam Barangan Keperluan Seharian Manusia

Ikan Hiasan Mampu Kesan Tahap Toksik Dalam Barangan Keperluan Seharian Manusia

 

 

IKAN HIASAN MAMPU KESAN TAHAP TOKSIK DALAM BARANGAN KEPERLUAN SEHARIAN MANUSIA DAN ALAM SEKITAR DENGAN PANTAS

SERDANG, 29 Ogos –
Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan kit yang dapat membantu untuk pengesanan pantas toksisiti bahan kimia dengan menggunakan ikan hiasan.

Danio Assay Kit, dibangunkan oleh sekumpuluan penyelidikan UPM yang diketuai Dr. Syahida Ahmad daripada Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM dihasilkan dengan menggunakan embrio ikan Zebra Danio atau  nama saintifiknya Danio rerio bagi menentukan tahap toksisiti bahan kimia yang biasanya terdapat didalam kandungan barangan kegunaan seharian.

Ujian ketoksikan dijalankan bagi mendapatkan maklumat awal kemungkinan kesan sampingan jangka pendek (acute toxicity) atau jangka panjang (chronic toxicity) sesuatu bahan kimia, dadah atau pencemaran kepada manusia. Kesan toksisiti sesuatu bahan itu dilihat pada perkembangan embrio ikan zebra diaplikasikan kepada manusia di peringkat bayi dalam kandungan sehingga dilahirkan, dan ia boleh terus dipantau hingga ke peringkat remaja dan dewasa.

Dr. Syahida berkata, ikan ini menjadi alternatif penting untuk menggantikan tikus dan haiwan ujikaji yang lain sebagai model ujian ketoksikan kerana ikan ini juga mempunyai mempunyai urutan gen yang serupa dengan gen manusia hampir 80%.

“Perkembangan embrio ikan zebra adalah hampir serupa dengan manusia, tetapi yang membezakannya ialah masa perkembangan embrio ikan zebra adalah 50 kali ganda lebih cepat dan berlaku diluar perut ibu yang bersifat lutsinar. Oleh itu, pemantauan ke atas perkembangan embrio boleh dilakukan tanpa perlu membunuh ibu atau embrio ikan zebra berkenaan. 

Dengan keunikan embrio ikan zebra ini, ia dapat dijadikan panduan untuk mengkaji kesan bahan kimia/dadah atau pencemaran air terhadap manusia daripada peringkat bayi dalam kandungan sehingga selepas lahir dengan pantas dan tepat.

Embrio ikan zebra ini juga dapat digunakan sebagai model penyakit yang mengalami mutasi gen atau gejala yang sama dengan pesakit. Di Malaysia, beberapa penyelidik telah menggunakan ikan zebra dalam kajian kanser, diabetes, penyakit jantung dan juga kerosakan saraf”.

Kit ini boleh diaplikasikan oleh institusi penyelidikan, pengeluaran produk, sektor pertanian, alam sekitar dan juga institusi pendidikan. Institusi pendidikan boleh menggunakan kit ini bagi pembelajaran secara hands-on yang dapat membantu meningkatkan minat dan penglibatan pelajar sekolah, kolej atau universiti dalam pembelajaran sains dan bioteknologi.

Inovasi penting dalam kit ini ialah menjadikan janin ikan ini bercahaya untuk memudahkan pemerhatian.

“Gen bioluminescent yang telah dipencil daripada bakteria dimasukkan kedalam embrio ikan zebra dan diubah suai genetiknya (transgenik) untuk ujikaji toksisiti dijalankan. Dengan menggunakan embrio ikan zebra yang bercahaya (luminence), ujikaji toksisiti dapat dijalankan dengan lebih efisien dan tepat.

Kelebihan yang ada pada kit ini adalah dapat mengurangkan masa kerana keputusan ujikaji boleh didapati dalam masa tiga hari, berbanding dengan cara kenvensional yang mengambil masa 14 hari dengan menggunakan tikus makmal. Ini meminimumkan kos penyelidikan dalam pembangunan sesuatu produk dan tidak memerlukan ruang yang besar untuk ujikaji dijalankan.

Selain itu, ia membantu pengesanan awal kesan jangka pendek dan jangka panjang sesuatu bahan kimia/dadah atau pencemaran alam sekitar terhadap manusia.  

Danio Assay Kit telah dikomersilkan oleh syarikat Danio Assay Laboratories Sdn. Bhd, iaitu salah satu syarikat permulaan (start-up) UPM di bawah program Innohub UPM.

Pet Fish Replace Lab Rats (Putra Science Park, UPM News)

http://danioassay.com/



                                                             Berita Harian, 30 Ogos 2016




                                                Utusan Malaysia, 30 Ogos 2016




                     Harian Metro, 30 Ogos 2016

 

 

Updated:: 23/03/2017 [lizamdnor]

MEDIA SHARING

FACULTY OF BIOTECHNOLOGY AND BIOMOLECULAR SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471047
0389467590
C1503073054