Rawatan Biomas | FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
» BERITA » Rawatan Biomas

Rawatan Biomas

Oleh Mohd Sabran Md Sani, Harian Metro 22 April 2014
sab@mediaprima.com.my


Industri pemprosesan kelapa sawit mengeluarkan air sisa kilang kelapa sawit atau efluen kilang kelapa sawit (POME) dan sisa buangan pepejal seperti tandan sawit kosong (EFB), kek ‘decanter’ dan ‘mesocarp fiber’ atau gentian sabut. 

Hakikatnya, EFB ba­nyak dimanfaatkan untuk menghasilkan makanan ternakan haiwan.
Berbeza dengan gentian sabut kerana sejumlah besar bahan buangan itu digunakan industri pemprosesan kelapa sawit sebagai bahan bakar untuk menghasilkan stim sebagai sumber tenaga bagi penggunaan di kilang. 

Pemprosesan sawit berlaku setiap hari, oleh itu, gentian sabut terhasil dalam jumlah banyak.

Pembakaran dilakukan bagi melupuskan sisa ini di kilang pemprosesan kelapa sawit. 

Ia menghasilkan stim dalam jumlah yang melebihi keperluan kilang sawit. Ba­nyak stim dilepaskan begitu saja. 

Cara itu tidak efisien dan menyebabkan pembaziran tenaga.

Ada alternatif lain bagi melupuskan gentian sabut di kilang kelapa sawit ini dan ia boleh dimanfaatkan untuk pembuatan produk bio-komposit.

Namun, gentian sabut sisa buangan sawit bersifat liat dan sukar diputuskan menyebabkan sukar dalam proses pengisaran bahan itu.

Proses pe­ngisaran perlu dilakukan bagi menghasilkan serbuk gentian sawit dalam saiz yang bersesuaian bagi digunakan dalam industri polimer dan bio-komposit.

Justeru, Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menemui cara terbaik bagi menyelesaikan kedua-dua masalah itu dengan menggabungkan penggunaan stim dan biomas.

Cara lain ialah dengan memperkenalkan kaedah prarawatan menggunakan stim untuk biomas (sisa gentian sawit) bagi penghasilan bahan untuk bio-komposit.

Ia dikenali rawatan biomas kelapa sawit menggunakan alat stim panas lampau.

Penyelidikan itu dilakukan Pensyarah Kanan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM yang juga penyelidik bersekutu di Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) UPM, Dr Hidayah Ariffin.

Penyelidikan pada 2011 itu adalah projek kerjasama dengan Kyu­shu Institute of Technology (Kyutech), Jepun yang dijayakan bersama beberapa rakan penyelidik lain.

Antaranya Noor Ida Amalina Ahamad Nordin, Prof Dr Mohd Ali Hassan, Prof Dr Yoshihito Shirai, Prof Dr Haruo Nishida dan Prof Madya Dr Yoshito Ando.

Ia mengharumkan nama universiti itu apabila memenangi pingat perak dalam Ekspo Teknologi Malaysia 2014 (MTE 2014) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Februari lalu.

Dr Hidayah berkata, pe­nyelidikan itu berkaitan penggunaan biomas daripada kelapa sawit.

“Biomas kelapa sawit berkaitan dengan sisa kelapa sawit yang terdiri daripada EFB, POME, kek ‘decanter’ dan gentian sabut. 

“Gentian sabut merujuk kepada sisa daripada sawit yang terhasil selepas buah sawit diproses untuk pengeluaran minyak.

“Apabila gentian sabut dikisar, silika yang bersifat keras ini boleh merosakkan mata pisau pengisar. 

“Silika juga akan mengganggu proses penghasilan bio-komposit dalam ekstruder menyebabkan mata pengisar dan skru ekstruder terpaksa ditukar agak kerap.
“Ini menyebabkan kos meningkat,” katanya.

Rawatan yang diperkenalkan memudahkan proses mengisar dengan mengurangkan jumlah silika daripada sabut. 

Kelebihan rawatan stim panas lampau ini juga, ia membantu meleraikan struktur kimia biomas yang kompleks dalam biomas yang dipanggil hemiselulosa. 

Penguraian hemiselulosa memudahkan proses pengisaran biomas. 

“Hemiselulosa bersifat polar manakala polimer (plastik) bersifat tidak berpolar. Ini menyebabkan kedua-duanya bahan itu tidak sesuai digabungkan,” katanya.

Kebiasaannya rawatan secara kimia digunakan untuk mengubah permukaan biomas bagi menjadikannya lebih hidrofobik. 

Penggunaan bahan kimia sebagai ejen gandingan (coupling agent) juga boleh digunakan. 

Suhu untuk rawatan antara 210 hingga 280 darjah celsius, dalam masa lima minit hingga sejam.

“Jadi selepas rawatan, kita akan dapat gentian yang lebih mudah untuk dikisar.

“Kita akan dapat serbuk yang halus dan ia sesuai untuk dibuat komposit dan dipanggil serbuk biomas kelapa sawit,” katanya.

Produk komposit yang dihasilkan adalah berkualiti dan mempunyai kekuatan yang hampir sama dengan bahan asal (polimer). 

Menyentuh mengenai produk akhir, katanya, ia dapat menghasilkan produk mesra alam yang berkualiti seperti perabot, barang mainan, sarung telefon bimbit, komputer dan komponen dalam kenderaan.

“Proses penguraian bahan bio-komposit bergantung kepada nisbah bahan yang digunakan. 

“Jika banyak komponen tidak terurai digunakan, ia sukar untuk terurai, sebaliknya ia menjadi mudah terurai sekiranya terdapat banyak bahan biomas,” katanya.

Kelebihan penggunaan biomas, ia diperbuat daripada sumber boleh diperbaharui.

“Plastik dihasilkan daripada sumber petroleum dan jumlahnya semakin mengecil dan tidak boleh diperbaharui. 

“Tapi, sumber ini boleh diperbaharui selagi ada ladang kelapa sawit. 

“Justeru, kita patut menggunakan bahan buangan itu secara efektif dalam industri hiliran,” katanya.

Malah, katanya, kos untuk menghasilkan produk daripada bahan komposit lebih rendah berbanding sumber polimer. 

“Untuk mendapatkan gentian sabut, kosnya adalah hampir percuma. Ini kerana setiap hari kilang sawit mengeluarkan sisa buangan ini tanpa perlu proses tambahan,” katanya. 

Secara keseluruhan, ka­edah rawatan tidak membabitkan bahan kimia dan mesra alam. 

“Projek penyelidikan ini hasil kerjasama antara pe­nyelidik Malaysia dan Jepun. 

“Kami sudah mendokumentasi serta memfailkan paten bagi proses rawatan menggunakan alat stim panas lampau untuk biomas kelapa sawit di beberapa negara, antaranya Indonesia, Thailand dan Filipina,” katanya. 

Kerjasama UPM dengan Kyutech, Jepun katanya sudah bermula sejak 1994.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691047
0397697590
SXDdUA3~