Pembuangan Air Sisa Domestik Ke Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain). | FACULTY OF BIOTECHNOLOGY AND BIOMOLECULAR SCIENCES
» ARTICLE » Pembuangan Air Sisa Domestik ke Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain).

Pembuangan Air Sisa Domestik ke Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain).

Peningkatan populasi rakyat Malaysia telah meningkatkan kadar pemilikan aset seperti kenderaan dan rumah. Pertambahan mendadak ini secara langsung mewujudkan ruang pekerjaan baharu dalam sektor permotoran dan pembinaan. Fenomena ini disambut baik kerana membantu dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Namun hal ini perlu ditadbir urus dengan baik dengan memberi latihan kepada pengurus, pengendali dan juga pekerja dalam sektor-sektor berkenaan, khususnya dari aspek pengurusan sisa.

Sebagai contoh, banyak bengkel dan pusat servis kenderaan yang menjalankan perniagaan membaiki dan servis kenderaan. Namun tinjauan rambang mendapati terdapat tidak semua pusat servis berkenaan mengamalkan pengurusan sisa minyak enjin dengan cara yang betul. Terdapat sisa minyak yang dikumpul di dalam tong yang bocor, dan berlaku tumpahan dan pengaliran sisa minyak ke dalam longkang

Malahan juga, di sektor perumahan dan restoran, terdapat banyak pengubahsuaian rumah yang tidak mengikut spesifikasi dan prosedur yang betul, mengakibatkan pembuangan air sisa domestik, contohnya dari sinki dan juga mesin basuh, ke dalam saluran longkang monsun, yang akhirnya menuju ke sungai, di mana sumber air yang dibekalkan kepada rakyat Malaysia.

Itu belum lagi dikira tentang penggunaan sabun, detergen dan peluntur secara berlebihan yang digunakan secara meluas untuk mencuci lantai dan kenderaan di pusat cuci kenderaan dan juga di rumah, yang mana akhirnya kesemua bahan kimia ini mengalir terus ke sungai melalui longkang monsun. Lebih kritikal apabila lebihan bahan kimia berat seperti cat, pelarut organik dan pelarut tidak organik, juga turut dibuang ke dalam longkang.

Semua isu ini berlaku apabila masyarakat terdidik dengan tetapan minda yang pentingkan diri dan juga “sisa itu bukan di belakang rumah saya” (the waste is not in my backyard). Kebanyakan rakyat Malaysia sukakan kebersihan dalam kawasan sendiri, tetapi tidak mengendahkan kebersihan secara keseluruhannya. Contoh paling mudah ialah, apabila menghasilkan sampah bungkusan di dalam kereta, sampah itu terus dibuang keluar tingkap tanpa mencari tempat pembuangan yang betul. Sampah itu pula mungkin akan bergerak ke dalam longkang apabila hujan, mengakibatkan saluran longkang tersumbat, ataupun terus menuju ke sungai.

Oleh sebab itu, pendidikan alam sekitar adalah penting kepada rakyat untuk mengelakkan kejadian seperti ini. Rakyat perlu mengambil berat kewujudan undang-undang perumahan yang telah menetapkan tatacara pengubahsuaian rumah. Air sisa yang dihasilkan di dalam rumah perlulah memasuki tangki septik (luar bandar) atau sistem rawatan air berpusat (bandar) dan melalui proses rawatan sebelum dilepaskan ke sungai.  Air sisa berbahaya seperti minyak enjin kenderaan, pelarut dan cat pula, perlu dihantar kepada pusat rawatan sisa berbahaya, supaya bahan-bahan ini tidak mencemari alam semulajadi.

Paling penting adalah rakyat mempunyai semangat kekitaan, dan tidak mementingkan diri sendiri, untuk menjadikan amalan penjagaan alam sekitar ini mampan. Kerana spiritual kebersihan hanya boleh dilaksanakan apabila semua orang bekerjasama untuk menjayakannya. Jangan nanti apabila sungai sudah tersumbat atau bekalan air sudah tercemar, barulah semua pihak saling menuding jari, tanpa sedar bahawa yang salah itu diri sendiri.

Disediakan oleh: 

Dr. Ahmad Muhaimin Roslan
Ph.D., Kyushu Institute of Technology, Japan
Expertise: Environmental Biotechnology, Fermentation Technology 
 +603-8946 8054
ar_muhaimin@upm.edu.my

Updated:: 18/09/2017 [hirfarizan]

MEDIA SHARING

FACULTY OF BIOTECHNOLOGY AND BIOMOLECULAR SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471047
0389467590
C1505841214